DAP akan menarik balik calonnya dari kerusi Batu Kitang sekiranya PKR bersetuju untuk menarik balik calon-calonnya dari lima kerusi bertindih yang lain.

Perkara ini dimaklumkan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang berkata ini merupakan cara terbaik untuk menangani kemelut pertindihan kerusi dalam Pakatan Harapan ketika menghadapi Pilihanraya Sarawak ke-11.

Walau bagaimanapun, Loke berkata dalam proses pilihanraya sekarang tiada lagi tempoh untuk calon menarik diri.

“Sebelum 2013, kita ada tempoh selama tiga hari selepas hari pencalonan untuk calon-calon menarik diri. Tetapi sekarang proses ini tiada lagi. Selepas kertas pencalonan difailkan, nama akan ada atas kertas undi," katanya.

“Kecualilah pihak PKR sanggup mengumumkan secara terbuka kelima-lima calon di kerusi bertindih yang akan menarik diri dan tidak berkempen langsung ... walaupun nama mereka tercatat di atas kertas undi dan berkata akan memberikan sokongan penuh kepada calon DAP.

BACA: Sarawak 2016: Proses penamaan calon berjalan lancar, BN menang 2 kerusi

BACA: 22 calon wanita pada Pilihanraya Sarawak ke-11

“Kalau mereka boleh buat begitu kita juga akan mengarahkan calon kita di Batu Kitang untuk berbuat sedemikian,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Loke berkata demikian ketika ditanya adakah cadangan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa masih ada ruang untuk rundingan dalam isu kerusi bertindih tersebut akan dipertimbangkan.

BACA: Pilihanraya Sarawak: BN lancar manifesto dengan tema 'Berikan Peluang Kepada Team Adenan'

BACA: Pilihanraya Sarawak: PKR lancar Lima Janji Demi Sarawak

Namun demikian, Anthony berkata beliau tidak menjangkakan ianya akan berlaku.

Pada penamaan calon semalam, pegawai pengurus pilihan raya di Sarawak mengumumkan PKR dan DAP akan bertarung antara satu sama lain di enam kawasan pilihan raya.

Kerusi terbabit adalah Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.