Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kota Bharu menyifatkan tindakan beberapa pemimpinnya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini mendakwa parti itu dalam keadaan bermasalah, sebagai tindakan jahat untuk merosakkan parti.

Timbalan Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, mereka yang terlibat akan diambil tindakan selepas Setiausaha Agong parti meneliti laporan yang dikemukakan bahagian itu.

Katanya, laporan tersebut telah dihantar ke PPBM Pusat pada Isnin, hari yang sama beberapa individu itu mengadakan sidang media di sini.

Mereka yang terlibat akan dipanggil dan berdepan tindakan sama ada dipecat atau diberikan amaran.

"Apa yang telah dibuat itu semata-mata perancangan jahat mereka, dalam bentuk, saya fikir, mempunyai hasrat hendak memecahkan parti.

"Sebab, peringkat awal tertubuh parti, kita akan ambil sesiapa sahaja secara rawak," kata Wan Rosdi kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini malam tadi.

"Kita tak jangka. Mereka dari Pas, atau UMNO, boleh jadi masuk Bersatu (PPBM) sebagai perisik, atau samaran. Dan bila terdesak, mereka membuat demikian," tambahnya lagi.

Beliau berkata begitu ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli PPBM Kota Bharu itu yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan dalam Pakatan Harapan, terutama Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan yang dilihat menguasai Pakatan di negeri itu.

Terlibat mengadakan sidang media pada Isnin, ialah Naib Ketua PPBM Kota Bharu Mohd Nor Hashim Che Min, Ketua Armada PPBM Kota Bharu Nik Mohd Adhwan Nik Haris dan Ketua Srikandi PPBM Kota Bharu Normala Ab Kadir.

Kumpulan ini mendakwa, agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak adil dan banyak kelebihan diberikan kepada Parti Amanah Negara serta DAP

Sebaliknya, Wan Rosdi berkata, PPBM Kota Bharu tidak pernah mendengar rungutan dari jawatankuasa parti peringkat bahagian termasuk dari mereka yang terlibat itu sebelum ini.

Beliau mengakui, kemasukan secara rawak ahli PPBM sewaktu pendaftaran menyukarkan kepimpinan mengetahui secara dekat latar belakang mereka yang kadangkala mungkin mempunyai niat untuk merosakkan parti dari dalam.

Menurutnya lagi, pembahagian kerusi melibatkan Parlimen di Kelantan sudah diputuskan dalam mesyuarat Pakatan manakala pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.