Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri konflik politik yang dicetuskan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya mendapat majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun begitu, Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, beliau akan memantau pergerakan dan langkah Anwar.

The Edge Singapore dalamnya laporannya yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata, dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu bukan sesuatu yang baharu.

Sebaliknya kata beliau, Anwar pernah membuat pengumuman yang sama pada September 2008.

"Kita harus tunggu untuk lihat apakah ini satu lagi episod membuat tuntutan yang tidak dapat dibuktikan," katanya dalam siaran langsung pada persidangan Nutanix’s Asean CIO menerusi aplikasi Zoom di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Mahathir turut mendedahkan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 24 jam bukanlah keputusan beliau.

"Saya tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, tetapi apabila parti saya dikeluarkan daripada coalition (gabungan), maka akhirnya ternoktah sekali jawatan itu. Semua perkara itu berlaku tanpa pengetahuan saya," tambahnya.

"Sekarang saya terpaksa berdepan dengan masalah ini kerana tidak sempat menghabiskan penggal dan tidak bekesempatan untuk melaksanakan cadangan pemulihan yang dibawa. Hal ini banyak mengganggu," kata Tun Mahathir.

Katanya, beliau bekerja keras untuk mengubah keadaan Malaysia, namun ia terhenti di separuh jalan, yang mana ia juga menyusahkan ramai orang.

"Untuk membetulkan kesalahan lampau, ia akan mengambil masa dan perlu dilakukan secara teliti supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama," tegasnya.

BACA: Istana Negara sahkan majlis menghadap Anwar ditangguh

BACA: Dakwaan Anwar hanya 'Sindrom September' - Takiyuddin

BACA: Bukan kerajaan 'back door' - Anwar Ibrahim

Terdahulu, dalam sidang akhbar kira-kira pukul 12 tengah hari di Kuala Lumpur pada Rabu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Beliau mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).