Parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta mencontohi gerak kerja UMNO yang membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti yang dibentuk berlandaskan kaum tidak seharusnya berjuang hanya untuk kaum masing-masing kerana rakyat secara keseluruhannya mengharapkan kepedulian yang sama rata.

Menurut beliau, bantuan yang dihulurkan kepada rakyat itu juga tidak seharusnya dilakukan mengikut musim khususnya menjelang pilihan raya umum.

“Dalam memberikan bantuan ianya tidak harus bermusim bila musim menuai telah sampai baru beras berguni sampai.

Oleh kerana kita mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang, UMNO dan semua parti dalam BN, kementerian jabatan dan agensi kerajana hendaklah menyusun jadual agar soal memberikan kepedulian kepada rakyat tidak bermusim tetapi berjalan sepanjang tahun tidak kira ada perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program UMNO bantu Rakyat 2.0 Biro Kebajikan UMNO Malaysia di Bagan Datuk pada sabtu.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Ahmad Zahid memberitahu kerajaan mengalu-alukan cadangan menaikkan had tunggakan cukai untuk sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang disyorkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Cadangan itu amat dialu-alukan. Saya akan memantau supaya pelaksanaannya jika diperseteujui di peringkat dasar untuk diguna pakai dalam tempoh segera,” katanya.