Barisan Nasional (BN) mengucapkan selamat tinggal kepada mana-mana calon parti itu yang tidak melepasi piawaian integriti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN mempunyai tiga lagi nama selain seorang simpanan seandainya calon berkenaan tidak melepasi beberapa ujian yang ditetapkan.

Integriti menjadi antara faktor penting pemilihan selain penerimaan masyarakat dan daya kemenangan seseorang calon pada PRU14.

"BN negeri sudah menghantar nama calon untuk PRU, beberapa usaha tapisan integriti sedang dilakukan termasuk laporan kesihatan untuk memastikan tiada pilihan raya kecil (PRK) dalam waktu terdekat selepas PRU.

"Integriti soal calon penting kerana kita tahu bahawa soal integriti ini melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Pastinya soal ini diberi perhatian dan pengundi juga akan melihat bagaimana seseorang calon di peringkat Parlimen dan DUN itu perlu bersih dalam setiap segi," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Diskusi intelektual - Membina negara bangsa berintegriti di Institut Integriti Malaysia (Integriti) di sini hari ini.

Dalam pada itu jelas Ahmad Zahid, pemantauan dalam aspek integriti dilakukan Unit Khas BN dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mengharapkan parti politik untuk tidak meletakkan calon yang mempunyai kes rasuah pada PRU14.

Menurut Dzulkifli, adalah penting untuk parti politik bukan sahaja memilih calon yang benar-benar bebas daripada sebarang sabitan atau kes rasuah, malah pada masa sama menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.

Pada majlis sama Ahmad Zahid turut merasmikan buku terbitan Integriti berjudul 'Nilai integriti dalam pelbagai agama - Pengikat persefahaman dan Modul integriti prasekolah (MIPs)'.

Beliau turut merasmikan Pusat Data Integriti dan Makmal Profil Integriti (MIP) iaitu satu instrumen yang dibangunkan bagi meningkatkan usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti.

Pusat Data Integriti pula merupakan satu sistem berinformatif dan interaktif yang memaparkan data, trend dan isu-isu integriti di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Datuk Dr Anis Yusal Yusoff memaklumkan, bahan bacaan itu merupakan antara usaha pihaknya dalam membudayakan integriti terutamanya kepada generasi akan datang.

"Ia selari dengan sasaran Pelan Integriti Nasional (PIN). Kita akan sentiasa berusaha mencari jalan agar generasi akan datang dapat dididik dan didedahkan dengan nilai-nilai murni.

"Selain itu ia dapat melatih generasi masa kini dengan amalan yang dapat memupuk satu budaya baik sebagai resam kehidupan seharian mereka," katanya.

Terdahulu diadakan Diskusi intelektual bertemakan - Membina negara bangsa berintegriti dan perspektif institusi pelbagai agama.

Ia menyentuh aspek pendidikan bagi meningkatkan peranan institusi-institusi agama dan pendidikan dalam memperkukuh persefahaman dan perpaduan antara kaum ke arah pembinaan sebuah bangsa berintegriti tinggi.

Panel diskusi adalah Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Pensyarah Kanan Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITra) UM Dr Wendy Yee Mei Tien.

Moderator bagi diskusi itu ialah Penerbit Eksekutif Astro AWANI Nazri Kahar.