Barisan jentera teknologi maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO meletakkan sepenuh keyakinan akan memenangi 'perang maya', khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Biro IT UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mahu terus kalah di tangan jentera IT pembangkang dalam 'peperangan' di media sosial.

Ahmad berkata, Jentera IT UMNO perlu bekerja keras menempis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan dengan memperbanyakkan aktiviti serta program yang memberi gambaran baik kepada rakyat.

Tegasnya, UMNO telah menubuhkan jawatankuasa Biro IT di 191 kawasan pada tahun lalu dalam usaha menangkis segala fitnah yang disebarkan pihak pembangkang di alam maya.

"Bererti kita sudah bersedia lebih setahun... BN tidak mahu kalah lagi dalam peperangan siber itu. BN sebelum ini dituduh kalah dengan Red Bean Army, (jadi) BN umno tidak mahu kalah lagi dalam perang di alam maya. Ini cukup jelas, terang dan nyata," kata Ahmad.

Katanya, setiap bahagian akan mempunyai sekurang-kurangnya 40 ahli jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan memantau kesemua media sosial.

Dalam pada itu katanya, selain daripada tugas menangkis fitnah, jawatankuasa biro IT juga akan bertindak mempromosikan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan UMNO yang menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ahmad turut mengingatkan semua jentera IT UMNO untuk tidak menyebar dan menularkan fitnah sebaliknya kebenaran yang membawa banyak manfaat kepada rakyat dan negara.

Ahli UMNO juga diingatkan terus berwaspada dengan fitnah yang bakal ditaburkan oleh pembangkang kelak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Taklimat dan Pertemuan Bersama Jawatankuasa Biro IT 4 Peringkat UMNO Bahagian Permatang Pauh, UMNO Bagan dan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh pada Ahad.