Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang perlu mencari kaedah dan pendekatan baharu bagi memikat hati dan minda pengundi di negeri ini.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata, kaedah baharu dengan pelbagai rangka dan gerak kerja harus dilaksanakan oleh jentera BN bagi memastikan keputusan terbaik dapat dicapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Selain daripada jalinan mesra dengan pergi dari rumah ke rumah untuk mencari pengundi seperti yang sering dilakukan jentera Wanita BN, kali ini kita perlu meneliti isu dan masalah yang dihadapi penduduk di negeri ini serta menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Gerak Kerja PRU 14 anjuran Wanita BN Pulau Pinang di sini hari ini, Teng berkata beliau mahu wakil penduduk dan ketua di setiap kawasan mengemukakan isu dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing untuk diuar-uarkan dalam media massa.

Beliau berkata antara isu yang akan diberi fokus termasuk alam sekitar, banjir dan kesesakan lalu-lintas.

Selain itu, Teng berkata ramai penduduk di negeri ini yang tidak mengetahui dan salah faham berkenaan Majlis Bandaraya yang terdapat di Pulau Pinang iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Orang awam menyalahkan kerajaan Persekutuan apabila mereka menghadapi masalah dengan MBPP ataupun MPSP berikutan mereka beranggapan kedua-dua majlis bandar raya itu adalah di bawah kerajaan Persekutuan.

"Mereka menganggap kerajaan Persekutuan yang mengawal Majlis Bandaraya, yang sebenarnya Majlis Bandaraya itu terletak di bawah selia oleh kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu Teng yang juga pengerusi Gerakan negeri menyambut baik harapan UMNO Pulau Pinang yang mengharapkan agar parti itu (Gerakan) turut menyumbang kemenangan kerusi pada pilihan raya akan datang.

"Ia merupakan satu galakan usaha daripada parti UMNO yang turut mahu melihat kami (Gerakan) untuk menang. Sudah semestinya setiap parti punya keinginan yang sama iaitu untuk menang pada pilihan raya," katanya.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman sebelum ini menzahirkan harapan itu selepas Gerakan tidak lagi memperoleh sebarang kerusi setelah tewas dalam dua kali pada pilihan raya sebelum ini iaitu PRU 12 dan PRU 13. -- Bernama