Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menunjukkan Pakatan Harapan (PH) perlu menilai strategi mereka untuk berdepan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah, menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar, gabungan parti Melayu dalam PN memberi cabaran kepada PH untuk mengekalkan strategi yang dilakukan sebelum ini.

"Bagi saya, PH perlu menilai semula strategi bagaimana mereka ingin berdepan dengan gabungan kerajaan PN atau Muafakat Nasional (terutama jika mahu) cuba mencabar (kerusi) di kawasan yang majoriti Melayu.

"Kena faham bahawa, berlaku lonjakan kemenangan kepada calon atau parti PH (sebelum ini) adalah kerana pertembungan tiga penjuru. Ini perlu diakui.

"Di Pantai Barat, pertembungan tiga penjuru menguntungkan PH. Ini berbeza di Pantai Timur, kerana ia menguntungkan Pas.

"Namun dengan keadaan gabungan parti Melayu, bagi saya, peratusan yang diperolehi oleh PH dahulu tidak memadai (untuk mengulangi kemenangan) jika dua kuasa ini bergabung," katanya semasa menjadi tetamu Agenda AWANI di sini.

Justeru, katanya, PH perlu mencari satu ketetapan baharu untuk menentukan bentuk strategi berbeza dengan menilai semula perubahan yang membawa kepada kemenangan pihak lawan ketika ini.

"Bagi saya, strategi paling ampuh ialah mereka perlu menetapkan apakah strategi paling tepat untuk mengekalkan (kemenangan terdahulu)," ujarnya.



Dalam pada itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, PRK DUN Chini digunakan oleh ramai pemimpin parti dalam PN untuk mempamerkan diri mereka sebagai calon pilihan raya umum akan datang.

"Dikatakan bahawa ini adalah pilihan raya yang tidak sengit. Ini adalah pilihan raya yang tidak ada keperluan untuk BN berkempen berlebih-lebihan, sebab mereka dalam situasi parti menang.

"Tetapi, kalau kita tengok di lapangan Chini, hampir semua pimpinan BN dan UMNO turun sejak peringkat awal... seolah-olah mereka sedang menghadapi satu persaingan yang sengit.

"Ini adalah petunjuk yang sangat jelas bahawa PRU akan diadakan dalam waktu yang terdekat. Semua pimpinan, menteri, turun. Bukan sekadar berkempen tentang Chini, tetapi ia adalah visibilty mereka nak bertanding dan sebagainya.

"Chini adalah medan terbaik untuk mempamerkan diri mereka. Inilah petanda PRU akan diadakan dalam waktu terdekat," katanya lagi.

BACA: BN pertahan DUN Chini

Pada Sabtu, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Chini apabila calonnya Mohd Sharim Md Zain memperoleh kemenangan dengan majoriti 12,650 undi.

Beliau menewaskan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.