Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas) tidak akan bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan datang.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing berkata, jaminan itu dinyatakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat pemimpin 12 parti yang membentuk kerajaan Persekutuan sekarang di Putrajaya, pada Rabu lepas.

"Walaupun Bersatu dan Pas ada mempunyai cawangan di Sarawak tetapi mereka tidak akan bertanding pada PRN12 nanti.

"Jaminan ini memberi laluan jelas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melawan pembangkang selain ia petanda baik bahawa parti komponen PN komited membantu GPS pada PRN12," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Antara parti dalam blok pembangkang di Sarawak terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan lain-lain.

Masing menambah, salah satu faktor sama yang menggabungkan parti komponen dalam PN adalah menolak DAP sebagai sebahagian daripada gabungan.

Malah katanya, Muhyiddin bersama barisan pemimpin parti yang lain turut yakin memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Masing turut mendedahkan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS pada mesyuarat tersebut menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengetuai PRU15.

Katanya, Abang Johari turut memaklumkan, GPS bersama empat parti komponen sudah bersedia untuk mengharungi PRN12 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

Empat parti komponen GPS ialah PRS; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).