Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang baharu sahaja mengumumkan keluar dari UMNO mengakui dilamar parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Namun menurut bekas Bendahari UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, beliau masih lagi belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

"Ada yang pelawa datang merisik parti yang berkaitan seperti Amanah dan Bersatu. Tapi saya belum membuat keputusan.

"Saya tidak terburu-buru tentang hal ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Abdul Azim sebelum ini mengumumkan keluar daripada UMNO setelah 35 tahun menjadi ahli.

Memetik laporan The News Straits Times, beliau berkata surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Ketua Bahagian UMNO Bukit Bintang Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique pada Rabu.

Abdul Azim turut mengulangi keputusannya keluar daripada UMNO kerana telah hilang kepercayaan selain melihat parti itu telah hilang nilai sistemnya.

Beliau juga tidak kisah dikritik ahli UMNO apabila membuat keputusan keluar parti.

"Itu biasalah kena kritik, itu hak mereka untuk kritik saya, tapi kalau mereka fikir rasional mereka akan tahu sebab UMNO ini sudah tidak ada prinsip, cuma cerita pasal uncang duit.

"Yang mana patut direhatkan cuti tapi masih teruskan jawatan. Semua cerita pasal duit, tapi nilainya sudah hilang," katanya lagi.

Biarpun beliau tidak menamakan mana-mana individu, namun sebelum ini kedudukan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan dengan 45 pertuduhan di mahkamah menjadi pertikaian dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

Ditanya kenapa beliau tidak menegur isu itu semasa Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa, Azim berkata pada waktu itu dirinya memikirkan masih ada ruang untuk UMNO memperbaik kelemahan itu.

"Saya ingat masih boleh ubah dalam kepimpinan dalaman. Tetapi setelah kalah dan ada pemilihan dibuat, saya harapkan ada perubahan, namun tetap orang yang sama dan muka yang sama juga terpaling dengan skandal, jadi sudah sampai masanya (keluar)."

Kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 menyaksikan ramai pemimpinnya melompat parti menyertai Bersatu.

Antaranya Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan terbaharu semalam Tan Sri Rafidah Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mendakwa sekurang-kurangnya 40 Anggota Parlimen BN yang akan menyertai Bersatu.