Pembatalan tempahan dewan di Hotel Seri Malaysia di Ipoh yang dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak untuk mesyuarat tertutup parti itu semalam tiada kaitan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata hotel tersebut di bawah kelolaan Kementerian Kewangan dan pengerusinya juga dilantik oleh kementerian tersebut.

"Hotel tersebut bukan di bawah kementerian saya, jadi saya tidak boleh komen mengenainya, saya hanya boleh beri pandangan," katanya kepada pemberita selepas menutup program khidmat masyarakat 'Touch Point Cabinet Away 2017' di Padang Rengas, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi Twitter rasmi miliknya semalam bahawa mesyuarat itu tidak dapat diadakan di hotel berkenaan susulan pihak pengurusan ditekan untuk membatalkan tempahan pada saat terakhir dan beliau meminta Mohamed Nazri menjawab isu itu.

Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamahari berkata pihaknya hanya dimaklumkan mengenai pembatalan berkenaan kira-kira pukul 10 malam pada Khamis atas arahan pihak-pihak tertentu.

Mohamed Nazri, yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas, turut menafikan dakwaan bahawa pembatalan tempahan itu berkaitan dengan parti politik tertentu kerana hotel tersebut diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada semua.

"Hotel ini juga diwujudkan untuk mendapatkan keuntungan, jadi kalau kita tahan sesuatu program semata-mata kerana dia parti politik lain kita rugi, kalau dia (pembangkang) tak buat (program) dekat tempat kita dia akan buat dekat tempat lain juga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata UMNO sedia menerima semula bekas anggotanya yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya mereka mahu meninggalkan parti itu.

Beliau berkata UMNO juga sedia memaafkan perbuatan serta kata-kata yang pernah dilemparkan mereka terhadap parti itu.

"Saya berharap PPBM akan terus ditimpa masalah supaya anggotanya sedar mereka membuat keputusan yang salah dan pulang semula kepada UMNO demi perpaduan masyarakat Melayu," katanya.

Beliau mengulas kegagalan PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan walaupun telah setahun ditubuhkan serta pengumuman keluar parti oleh beberapa ketua penaja bahagiannya di Perak baru-baru ini kerana krisis kepimpinan.

-- BERNAMA