Bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, Datuk Azmi Abdul Malek menawar diri bertanding sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.

Azmi, 59 tahun, berkata beliau mahu membantu UMNO memulihkan semula imej dan semangat anggotanya selepas insiden tsunami rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Saya akan menggunakan ilmu pengetahuan, kemahiran, pengalaman dalam bidang pengurusan perniagaan, komunikasi media, kepimpinan politik dan badan bukan kerajaan untuk membantu kepimpinan tertinggi UMNO," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang telah menghantar borang secara dalam talian pada 2 Jun lepas mahu memastikan pemilihan pemimpin UMNO kali ini bebas daripada gejala rasuah dan politik wang.

Azmi yang berasal dari Kampung Tok Paduka Raja, Kampung Gajah, Perak pernah memegang jawatan Ketua Komunikasi Korporat bagi Kementerian Sumber Manusia (2009 hingga 2011) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) (Julai 2013 hingga September 2014) serta Anggota Lembaga Penapis Filem KDN (Oktober 2014 hingga September 2015).

Beliau juga adalah bekas Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian Pasir Salak dan Anggota Jawatankuasa Biro Ekonomi UMNO Perak.

-- BERNAMA