Dakwaan yang dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan bahawa dirinya cukup sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri pernah dilakukan pemimpin terbabit ketika krisis politik yang berlaku pada Februari lalu.

Menurut Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kesemua pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sepatutnya mencalonkan namanya sebagai Perdana Menteri ketika diminta Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Malangnya, katanya ketika itu semua sokongan itu telah beralih kepada Anwar yang telah mendakwa bahawa dirinya memiliki sokongan yang cukup untuk dilantik bagi jawatan berkenaan yang menyebabkan kedua-dua mereka tidak memperoleh sokongan majoriti dari Ahli-ahli Parlimen PH.

BACA: Anwar perlu tunjuk bukti ada sokongan majoriti - Tun Mahathir

"Dia dulu pernah buat dakwaan dia ada majoriti tetapi akhirnya tidak ada, pada masa kita. Selepas saya letak jawatan dan Agong minta supaya kita nyatakan pendirian, sekali lagi dia nyatakan kepada PH dia punyai majoriti.

"Pakatan Harapan patutnya beri nama saya tapi oleh kerana dia anggap dia dapat majoriti, Pakatan Harapan bagi namanya, tapi tak cukup, memang tak ada majoriti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan beliau pada masa itu telah mencadangkan untuk mewujudkan gabungan kerajaan yang diwakili semua parti termasuk kumpulan profesional, namun cadangan itu ditolak sesetengah pihak.

Tegas beliau, jika cadangan terbabit menjadi kenyataan, ianya akan membentuk sebuah pentadbiran dan kerajaan yang amat baik dan stabil terutama dalam mendepani situasi yang dilalui ketika ini khususnya membabitkan penularan wabak COVID-19.

"Saya cadangkan (ketika itu) kita adakan kerajaan yang mewakili (semua parti), kita boleh pilih orang termasuk ahli-ahli profesional yang bukan ahli politik pun kita boleh masuk dalam kerajaan.

"Itu cadangan saya tapi malangnya ditolak, kalau kita terima syarat itu saya ingat di waktu keadaan tidak menentu ini, satu kerajaan yang wakili semua pihak boleh menyedarkan kestabilan negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sembang Santai bersama penggerak pelancongan dan pengusaha hotel di Kuah, Langkawi pada Jumaat.

Anwar dalam satu sidang media tergempar di Kualu Lumpur pada Rabu, menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

Presiden PKR itu turut mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.