Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesuatu yang pelik.

Ia selepas Anwar mengumumkan bahawa pihaknya kini sudah mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan yang baharu.

Tegas Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak, GPS akan terus memberikan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum ini semasa sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu, saya sudah menyatakan bahawa GPS akan terus memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tidak tahu kenapa dia (Anwar) membuat pengumuman itu hari ini dan kita semua tahu Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat, bagi saya dia ini pelik,” katanya ketika ditemui di Serian pada Rabu.


Tambahnya apa yang lebih mustahak ialah soal kepentingan negara dan ekonomi negara perlu kemballi distabilkan dalam tempoh dunia masih berperang dengan wabak COVID-19.


Sementara itu, Abang Johari turut menafikan bahawa GPS tidak berpuas hati dengan Perikatan Nasional (PN) susulan isu rundingan Cukai Jualan Negeri (SST) melibatkan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Perjanjian Malaysia (MA63).

Malah kerajaan negeri di bawah kepimpinannya berpuas hati dengan bayaran yang dibuat Petronas dan ia selaras dengan jumlah lima peratus seperti yang ditetapkan.

“Kami gembira dengan bayaran yang dibuat pihak Petronas dan ia merupakan jumlah itu selari dengan taksiran yang dibuat oleh komptroler SST dan Petronas sudah menyatakan persetujuan,” tambahnya lagi.

Abang Johari berkata demikian semasa sidang media selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan SJK Chung Hua di Serian pada Rabu.