Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menafikan yang beliau menggesa semua Ahli Parlimen agar 'memboikot' sidang khas Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

Jelasnya, perkara itu perlu dibantah semua wakil rakyat kerana tiada notis rasmi dikeluarkan.

"Semua Ahli Parlimen perlu BANTAH sidang khas pada 2 Feb (sebenarnya Mac) sepertimana diumumkan perdana menteri interim kerana tidak mengikut perlembagaan, tidak mengikut prosedur dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong," tulis Annuar dalam tweetnya pada Jumaat.



Terdahulu, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan calon perdana menteri akan ditentukan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac berikutan tiada mana-mana calon memperoleh majoriti dalam sesi temu bual khas bersama Yang di-Pertuan Agong dua hari lalu.

BACA: Tiada majoriti bentuk kerajaan, serah pada Dewan Rakyat - Tun M

Dalam perkembangan sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyelar tindakan sebuah portal berita berbahasa Inggeris yang disifatkan cuba mensensasikan isu tersebut.


"Sila semak semula laporan, keterangan gambar. Jangan cuba sensasikan isu ini," tulisnya.