UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang besar untuk merampas Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti berdasarkan reaksi postif pengundi yang berada di perantauan terutama di Lembah Klang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata anak Kelantan di perantauan menunjukkan sikap mahu menukar kerajaan Pas yang memerintah Negeri Cik Siti Wan Kembang itu selama 27 tahun.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh pengundi yang berada di luar Kelantan itu memberi isyarat bahawa rakyat negeri tersebut mahukan perubahan.

"Apa yang jelas kepada kita (UMNO/BN) ialah satu sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan, di luar jangkaan, luar sangkaan kita. Rakyat Kelantan, kita lihat sudah jelas bersedia mahu menukar kerajaan negeri yang sedia ada.

"Mereka menunjukkan sikap yang jelas, dan hasil maklumat kita (menunjukkan) mereka berkata sudah sampai masa bagi peluang BN memerintah kembali Kelantan," katanya di Majlis Jamuan Aidilfitri Risda di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjelaskan perubahan yang ditunjukkan pengundi di luar Kelantan berdasarkan kajian dan laporan yang dijalankan.

Ujar beliau, pengundi Kelantan mahukan sebuah kerajaan baharu mentadbir negeri itu selepas sekian lama berada di bawah Pas.