Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) telah meluluskan permohonan Datuk Husam Musa untuk melepaskan jawatan naib presiden, kata Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad.

Menurut Khalid, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.

Khalid menjelaskan Husam memohon untuk melepaskan jawatan bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada usaha Amanah menang di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.

Katanya, Jawatankuasa Nasional Amanah telah bersetuju untuk meminta Husam untuk menjadi penasihat kepada tiga biro parti.

"Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, JK Nasional Amanah telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15.

"Tiga Biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuannya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khalid juga menafikan Husam meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau mana-mana pemimpin parti itu.

"Sebaliknya ia dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu," katanya lagi.

Sebelum ini, Khalid memberitahu Astro AWANI isu peletakan jawatan Husam masih dalam perbincangan.

BACA: 'Masih dalam perbincangan' - Khalid Samad komen isu peletakan jawatan Husam Musa