Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menerima kemasukan individu seperti Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali dengan nama Ali Tinju yang mempunyai rekod buruk serta sejarah perjuangan yang tidak baik.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mempunyai prinsip dan sentiasa berpegang untuk tidak menerima individu yang tidak sesuai menyertai mereka.

"Maka itu akan diputuskan. Tidak setiap permohonan itu automatik diterima. Ali Tinju ramai orang kenal dia bukan sebab cerita bagus. Sama dengan Jamal Jamban. Takkan orang macam itu kita hendak terima masuk.

"Kita akan putuskan, saya diberitahu kalau tidak layak, tidak sesuai kita tolaklah," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) Agensi Anti-Dadah Kebangsaan di sini, hari ini.

Pada Ahad, Ali menyerahkan permohonan masuk Bersatu kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Marzuki Yahya.

Ali merupakan bekas anggota tentera yang pernah menyertai senaman punggung pada 2012 di luar rumah Pengerusi Bersih ketika itu, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Jelas Ali, dia hilang kepercayaan terhadap UMNO susulan dakwaan skandal rasuah mengaitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin parti itu.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin menjelaskan, Maszlee Malik perlu meletak jawatan selaku presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan serta merta kerana Kabinet dan Bersatu sudah memutuskan Menteri Pendidikan itu tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut.