Fitnah di media sosial dan kumpulan WhatsApp pro-pembangkang semakin hari semakin memualkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia jelas dilihat menerusi pelbagai berita palsu mengenai kerajaan yang diterimanya daripada 878 kumpulan WhatsApp yang disertai.

"Saya ada di dalam 878 kumpulan WhatsApp dan kebanyakannya juga terdiri daripada mereka yang pro-pembangkang. Mereka sendiri yang jemput saya.

"Pembangkang nampaknya semakin terdesak untuk mencari sokongan rakyat dengan menghidangkan fitnah yang memualkan di WhatsApp serta portal berita masing-masing.

"Langkah pembangkang itu hanya menyedarkan rakyat terhadap kebenaran sebenar yang disembunyikan mereka," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Tegasnya, rakyat kini melihat apa yang ada di depan mata, melalui kumpulan WhatsApp selain merujuk portal yang menyampaikan perkara sahih.

"Kita ada saluran dan medium sebaran berita benar yang disediakan jawatankuasa IT UMNO sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Rakyat sendiri akan lihat kebenaran kerana terlalu banyak sebaran palsu serta fitnah di portal pembangkang. Fitnah pembangkang semakin memualkan di alam siber.

"Sebab itu UMNO akan tetap meneruskan penyebaran perkara positif dengan kerjasama jentera IT di semua bahagian Parlimen," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sebuah portal khas PRU14 yang akan dilancarkan pada Rabu iaitu TheRakyat merupakan medium menyampaikan maklumat sahih menjelang PRU.

"Ia tambahan selain portal-portal lain yang sedia ada untuk digerakkan selari dalam melawan fitnah.

"Paling penting, kita tidak menyebarkan fitnah atau menggunakan taktik menyamar menjadi ahli UMNO untuk menyampaikan berita palsu kepada rakyat," ujarnya.

BACA: Ahmad Maslan ada dalam kumpulan WhatsApp 'Kami Anti Ahmad Maslan'

BACA: 'Bolehkah mereka ini hidup tanpa sebar fitnah?' - Ahmad Maslan


Pada 2015, Ahmad dikatakan mempunyai 350 kumpulan WhatsApp.

Dalam masa dua tahun selepas itu, Ahmad menyertai 525 kumpulan lagi di dalam sistem pesanan WhatsApp.