Semua Ahli Parlimen diminta tidak melupakan dan sentiasa berdamping dengan pengundi masing-masing selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia ramuan utama memastikan sokongan selain hubungan wakil rakyat dan masyarakat itu berkekalan.

"Sentiasa berusaha mendekati rakyat dan masyarakat sambil peluang bertegur sapa serta bertanyakan khabar.

"Jangan kepercayaan yang diberi pengundi sebelum ini terlebur begitu sahaja sehingga mereka membuat keputusan memilih wakil rakyat lain pada PRU akan datang.

"Saya sendiri tidak mengabaikan pengundi sejak menjadi Ahli Parlimen di Pasir Salak dan mendekati pengundi dalam program selain sentiasa mendengar apa sahaja masalah berkaitan mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Selasa.

Terdahulu katanya, Program 'Back To School' anjurannya menyediakan 562 pelajar sekolah sekitar Parlimen Pasir Salak bantuan baju seragam sekolah baharu dan basikal untuk digunakan pada musim sesi persekolahan 2019 nanti.

"Riuh rendah pelajar tersebut di Dewan Besar Pekan Rabu, Sg Manik apabila teruja mencuba baju seragam baharu sambil bermain basikal dan berkongsikan kegembiraan itu dengan ibu bapa dan penjaga masing-masing.

"Ia termasuk 515 pasang baju seragam sekolah dan 47 buah basikal kepada pelajar-pelajar berkenaan," ujarnya.

Kata Tajuddin, program seumpama itu dianjurkannya sejak 10 tahun lalu dan menjadi antara platform pengundinya termasuk anak-anak muda memberi sebarang cadangan untuk memajukan Parlimen.

"Saya yakin hubungan ini bukan hanya tertakluk semasa musim-musim buka sekolah atau perayaan sahaja namun ia menjadi tradisi keakraban pengundi dan wakil rakyat yang harus diterap di semua kawasan," jelasnya.