Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi secara rasmi mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan Penggal Ke-2 Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 pada Isnin.

Beliau mengangkat sumpah serta menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

“Dengan nama Allah, saya Zakaria Hanafi setelah dipilih sebagai ADUN bersumpah bahawa saya akan tunai kewajipan saya dengan jujur, sedaya upaya, taat setia sebenar kepada negeri Selangor. Pertahan undang-undang tubuh kerajaan negeri. Kepada Allah saya berserah,” ujarnya.

PRK DUN Semenyih terdahulu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Noor.

Beliau yang merupakan calon Pakatan Harapan meninggal dunia akibat serangan jantung 11 Januari lalu.