Kepimpinan UMNO bukan hanya wajib memahami objektif Muafakat Nasional, malah perlu turun padang menjelaskan kepada semua ahli agar dapat memahami dan mencapai matlamat yang terdapat dalam kesepakatan itu.

Perwakilan Pahang, Ramli Mohd Nor percaya UMNO akan bangkit semula dengan kekuatan rakyat yang kini semakin sedar dengan cara pentadbiran kerajaan hari ini.

“Walaupun tewas di Pilihan Raya Umum ke-14, ada hikmah dan pengajaran dan kesedaran yang kita perolehi, hikmah besar dari kekalahan kita ialah cetusan Muafakat Nasional iaitu penyatuan UMNO-Pas tanpa ketepikan parti komponen dalam Barisan Nasional,” katanya semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Sabtu.

Jelasnya, asas kerjasama UMNO-Pas adalah kejujuran dan keikhlasan, bersangka baik dalam berkhidmat serta bersama-sama untuk agama dan negara kerana ia bergantung kepada kestabilan politik dan ekonomi,

“Muafakat Nasional ini telah menempa sejarah bagi mengembalikan kita ke asas dan landasan yang betul di dalam perjuangan ahli UMNO. Muafakat Nasional merangkumi kerjasama politik di antara UMNO-Pas dan parti komponen dalam BN.

“Malah ia mengambil kira kepentingan masyarakat, majmuk pelbagai bangsa, dan agama di negara ini berasaskan perlembagaan persekutuan Tanah Malaysia.

“Kepada masyarakat di luar, muafakat ini bukan satu ancaman kepada budaya, agama atau tata cara hidup mereka, malah hak mereka tetap dipelihara yang tertulis dalam perlembagaan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli turut memberitahu, beliau tidak akan sesekali berpaling pada wadah perjuangan selagi UMNO teguh dalam memperjuangan nasib orang Melayu, Bumiputera dan Orang Asli.

“Orang Asli Semnanjng Tanah Melayu tak ramai, 215,000 sahaja. Sebagai wakil rakyat BN berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia, saya memohon kepimpinan Barisan Nasional agar tidak mengetepikan dan melupakan kami, dalam perjuangan politik negara walaupun dalam masa kegelapan dan kesusahan UMNO.

“Saya dengan rendah diri memohon UMNO dan BN memperkasakan peruntukan ini. Apa yang kami minta hanyalah penghargaan dan tidak dipinggirkan,” jelasnya.