“Semua orang nak jadi bos”, itulah slogan yang dijual oleh CEO, sebuah filem arahan Razaisyam Rashid dengan skrip nukilan Nazri bin Mohd Annuar.

CEO mengisahkan dua lelaki yang berada di berlainan ‘dunia’. Adam lakonan Remy Ishak ialah seorang CEO dalam sebuah empayar korporat berjaya, Alam Group.

Sufian lakonan Beto Kusyairy pula ialah seorang budak penghantar pizza yang cita-cita jangka panjangnya mahu bermain pool selepas waktu bekerja.

Dua dunia ini tidak sepatutnya bercantum. Namun satu insiden menyebabkan hidup dua lelaki ini berubah 360 darjah. Adam hilang segala-galanya selepas satu kes pecah amanah. Dia hilang jawatan, status, rumah mewah dan tunang.

[GALERI FOTO] Di sebalik tabir pembikinan filem CEO

Sufian pula tidak menyangka dia mendapat syurga dunia. Dia diberikan jawatan tertinggi syarikat, rumah mewah, harta dan segala kemewahan yang tidak pernah difikirkannya.

Adam keliru dengan apa yang terjadi. Dia bertekad untuk menggali siapa dalang di sebalik kejatuhannya. Sufian juga keliru, tapi dia tidak bertekad apa-apa sebab - orang memberi, kita merasa, buat apa nak banyak tanya.

Namun ada misteri di sebalik apa yang berlaku, Adam dan Sufian akan berdepan dengan misteri tersebut.

Apabila dibaca sinopsis ceritanya, penonton pasti akan menjangkakan ia sebuah filem bergenre drama korporat. Namun di sebalik keseriusan yang dibaca, ada jenaka dan ketawa yang bakal menggegar pawagam mulai 12 Jun ini (hari ini).

Poster filem CEO

10 sebab mengapa filem CEO wajib disokong

1. Saya merasakan filem CEO adalah sebuah filem komedi yang bijak. Jenakanya dikawal dengan baik serta kelucuan skripnya tidak hanya bergantung kepada penggunaan dialog lucu yang berkesan malah diperkuatkan oleh mutu lakonan pelakon-pelakonnya. Dialog-dialog komedinya tidak kosong yang sekadar mahu mengundang tawa tetapi penuh berisi dan hadir secara semulajadi.


2. Harus saya katakan, filem CEO merupakan antara filem lakonan Beto Kusyairy yang terbaik pernah saya tonton selain Jalan Pintas dan Istanbul Aku Datang. Karisma pelakon itu sangat besar di skrin dan dengan jelas dipersembahkannya dengan cukup berkesan. Ya, filem ini sebuah filem komedi dan lakonan Beto melengkapkan filem ini untuk menjadi sebuah filem yang cemerlang.


3. Walaupun ia sebuah filem komedi dan itulah strategi pemasaran yang telah diletakkan oleh penerbit filem ini bagi menjual juadahnya di mata pelanggan, filem ini menampilkan subteks yang lebih besar daripada sekadar ketawa. Jika penonton menyelam ke dasar filem ini, mereka pasti dapat mengagak apa kaitan pengurusan sesebuah syarikat dengan sesebuah negara. Di sinilah letaknya kebijakan pengarah dan penulis dalam menggabungkan elemen jenaka dan makna tersirat untuk menjadikan filem komedi ini lebih tinggi tarafnya berbanding filem komedi lain yang pernah ditonton sebelum ini.


4. ARAfilm Sdn Bhd, penerbit filem ini adalah milik penganalisis politik Abdul Razak Baginda. Tentu ingatan kita masih segar terhadap apa yang pernah berlaku kepadanya. Berada di puncak kerjaya dan kemudian semuanya hilang sekelip mata. Secara kebetulan, itulah inti utama filem ini. Mungkin ada persamaan, mungkin juga tidak secara kebetulannya. Maka, nilaikanlah sendiri.


5. Hah! Deanna Yusof! Pertama kali diperkenalkan menerusi filem Selubung arahan Shuhaimi Baba sehingga diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM dan terus meniti populariti menerusi filem Abang 92 arahan Rahim Razali. Setelah lama tidak berlakon, inilah peluang terbaik anda untuk menyaksikan pelakon wanita ini beraksi dalam sebuah filem komedi. Pelakon terkenal ini antara tarikan utama filem CEO.


6. Penulis Nazri bin Mohd Annuar pernah menulis untuk sebuah filem arahan Othman Hafsham yang bertajuk Karipap Karipap Cinta. Dengan terhasilnya filem CEO, sudah sampai masanya untuk penonton yang masih dibayangi ketakutan filem Karipap Karipap Cinta melupakan bahana filem tersebut. Kematangan penulis terserlah dalam filem kedua tulisannya itu. Pucuk pangkalnya, jangan pernah berasa kecewa sebaliknya terus berkarya. Sewaktu menonton, bacalah filem ini dan bertanya siapa Adam? Siapa Firdaus? Siapa Sufian? di sekeliling kita.


7. Kekuatan utama filem ini juga terletak pada pelakon ensemble filem ini. Wajah utama di poster bukan hanya pelakon utama sebaliknya filem ini turut diperkuatkan oleh lakonan pelakon pembantunya. Setiap seorang daripada mereka ada masa untuk menyerlah kerana kebijakan pengarah mengimbangi setiap watak tanpa unsur pilih kasih. Aloy Paradox sebagai penjual kasut curi, Anas Ridzuan (busker tepi jalan), Mustakim (anak saudara Tan Sri) waima Datuk Jalaluddin Hassan sekalipun telah menampilkan mutu lakonan yang baik dan kena pada adegannya.


8. Paling istimewa pastinya lakonan Anas Ridzuan yang dipasangkan dengan Remy Ishak. Lakonan kedua-keduanya lengkap dan secukup rasa. Anas semacam underdog di layar perak walaupun sudah dikenali di pentas teater dan nyanyian. Agak nakal sifatnya di layar, jika tidak dijinakkan oleh pengarah akan mampu membuatkan pasangannya tenggelam.


9. Secara luaran saya boleh mengagak yang mana penonton yang menonton filem KIL akan turun ke pawagam untuk menyaksikan filem CEO. Itu andaian sahaja. Nah! Sekali lagi, ada Cristina Suzanne. Comelnya Cristina baik dalam iklan raya Diva Universal dan kemudian membawa ke filem KIL, terus dibawa ke dalam filem CEO. Keserasian gandingannya bersama Beto Kusyairy adalah permata yang bergemerlapan. Mereka amat cocok dan momen-momen dalam filem CEO membuktikannya.


10. Ini gelombang baru filem Malaysia. Kehadiran mereka perlu digeruni. Berbekalkan filem arahan pertamanya di layar perak, Razaisyam boleh dianggap telah berjaya mendedahkan keupayaan dirinya yang sebenar. Idea-idea baru bercerita yang kena pada trend generasi masa kini perlu diteruskan. Idea baru yang dibawakan oleh pengarah seangkatannya seperti Nik Amir Mustapha, Syafiq Yusof perlu diberikan perhatian dan sokongan agar lebih banyak karya bijak dapat dihasilkan.


Ini ulasan ringkas tetapi bermakna oleh pengarah filem Susuk, Amir Muhammad,


Pergilah menonton filem CEO yang akan mula menjengah pawagam mulai hari ini. Ketawalah pada jenakanya, selamilah makna-makna tersirat di sebalik ketawa anda itu. Jangan malu untuk mentertawakan diri sendiri.


Ketawa anda itu nanti akan menjawab setiap rahsia pada sebuah syarikat yang telah dibangunkan sejak 50 tahun lalu, Alam Group.



Saksikan di sebalik tabir pembikinan filem CEO,


Ikuti ulasan dan apa kata penonton menerusi hashtag #FilemCEO dan akaun Twitter rasmi di @CEOTheMovie serta Facebook di www.facebook.com/CEOTheMovie.