Setiausaha PAS Kawasan Tumpat Wan Rosdi Wan Ibrahim dipilih sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Kubor.

Pencalonan ini diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan.

Sebelum ini, nama Wan Rosdi turut disebut bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon PAS.

Setakat ini, PRK Dun Pengkalan Kubor bakal menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara calon PAS dan Barisan Nasional.

BN mempertaruhkan calonnya Mat Razi Mat Ail bagi mempertahankan kubu kuatnya.

Bagaimanapun, tarikh penamaan calon adalah pada 13 September ini. Hari pengundian bagi PRK Pengkalan Kubor pada 25 September.