Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Selasa mengumumkan subsidi kadar faedah sebanyak 2.0 peratus akan diberikan kepada SME Partner yang dikenal pasti melalui Program Berimpak Tinggi: SME Investment Partner di bawah pelan induk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan subsidi itu diperlukan kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi.

"Oleh kerana ini melibatkan pinjaman sukuk, maknanya kosnya akan menjadi agak tinggi dan dalam mesyuarat tadi kita putuskan bahawa kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus kepada SME Partner yang dikenal pasti dan dengan cara ini peruntukan tersebut boleh dimanfaatkan.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan ke-17 di sini.

Dalam pembentangan Bajet 2015 lepas, kerajaan telah mencadangkan pelaksanaan 'SME Investment Partner' dengan dana sebanyak RM375 juta disediakan untuk PKS dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya terumanya di peringkat permulaan.

Sejumlah RM250 juta daripada SME Bank dan RM125 juta lagi daripada pelabur swasta.

Najib juga berkata draf rang undang-undang PKS sedang disiapkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun hadapan.

SME Corp dalam satu kenyataan berkata draf itu akan merangkumi butiran tentang peranan dan tanggungjawab kerajaan dan swasta di mana kerajaan akan menumpukan kepada pengawalseliaan dan pemantauan sementara swasta akan mengambil peranan lebih proaktif melalui persatuan dan dewan perniagaan.

"Sesi konsultansi kini sedang dijalankan di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan dan cadangan dari pihak awam sebelum draf akta ini dikemas kini dan diperhalusi untuk semakan Jabatan Peguam Negara sebelum dibahaskan di parlimen," katanya.

Najib berkata sumbangan PKS dalam menjayakan Asean sebagai sebuah komuniti ekonomi dan pembangunan PKS di setiap negara Asean merupakan antara program penting yang akan diperjuangkan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun hadapan.

Terdahulu beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Sirim Bhd dan Fraunhofer Gesellschaft Institute untuk mengukuhkan pembangunan PKS di negara ini melalui adaptasi ekosistem Jerman bagi pembangunan PKS selain kerjasama dalam teknologi termaju pengkomersialan dan peningkatan perniagaan.