Israel mahu menunjukkan kepada negara-negara Arab dan kepada dunia bahawa ia boleh melakukan apa sahaja yang ia mahu, kata ahli akademik dan penganalisis Dr Chandra Muzaffar.

Beliau mengulas mengenai operasi serangan darat ke atas Semenanjung Gaza yang dilancarkan baru-baru ini oleh Israel.

Dr Chandra yang juga Presiden JUST berkata Israel tidak sabar untuk menunjukkan kuasanya kerana ia takut penggabungan antara Hamas di Gaza dan Fatah di Tebing Barat.

"Israel mahu memastikan ini tidak berlaku. Dan Gaza (walaupun selepas diserang) masih mampu berdiri dan menyediakan pengkalan untuk Hamas. Jadi mereka mahu hancurkannya," kata Chandra ketika dihubungi Astro AWANI.

Walaupun Gaza dan Tebing Barat secara politiknya tidak bersatu, tetapi persahabatan di antara dua pergerakan itu kuat terutama sekali apabila konflik seperti ini timbul.

Beliau berkata walaupun alasan yang dinyatakan Israel adalah untuk melindungi nyawa orang Israel dan memusnahkan terowong-terowong yang digunakan oleh pejuang Hamas untuk menyusup masuk ke bahagian berdekatan Israel, tetapi hakikatnya mereka mahu memberi mesej yang jelas bahawa mereka sangat berkuasa.

"Saya tidak fikir roket dihantar oleh Hamas merupakan ancaman kepada Israel," katanya.

"Anda angkat kepala, kami (Israel) belasah kamu," kata Chandra, meringkaskan apa yang benar-benar ingin diberitahu Israel kepada seluruh dunia.

Namun menurut Chandra, masalahnya terletak pada Israel kerana mereka enggan bertolak ansur dengan apa-apa proses keadilan terhadap Palestin.

Israel juga enggan menerima penubuhan sebuah negara Palestin meskipun hanya 22 peratus daripada tanah Palestin yang terlibat.

"Melainkan jika ada tekanan dari Amerika Syarikat atau Britain, saya tidak fikir akan wujud jalan penyelesaian," beliau berpendapat.

Serangan ke atas Gaza telah memasuki hari ke-13 dengan serangan Israel awal pagi di bandar selatan Rafah membunuh lima lelaki, meningkatkan jumlah kematian kepada 348 rakyat Palestin.

Pejabat Akhbar Kerajaan Israel (GPO) juga telah memberi amaran kepada wartawan luar bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab untuk keselamatan wartawan yang membuat liputan di Semenanjung Gaza, lapor Reuters.

Menurut GPO, Gaza dan sekitarnya telah menjadi medan pertempuran dan ia mendedahkan kepada wartawan kepada bahaya yang boleh mengancam nyawa mereka.

Israel pada Khamis, telah melancarkan operasi darat di Gaza dengan alasan membalas serangan roket dari wilayah Palestin serta menghancurkan Hamas.

Oprasi itu dilakukan pada hari ke-10 serangan rejim itu terhadap Gaza. Puluhan wanita dan kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dalam serangan kejam tersebut.