Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini berkata, beliau akan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan.

Dilaporkan Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Januari lalu dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti itu sudah dihantar kepada Zuraida.

Ditemui pemberita selepas majlis pelepasan dua buah kenderaan berkuasa elektrik untuk kegunaan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) di sini hari ini, Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau akan memaklumkan kepada media berkaitan responsnya kepada surat berkenaan apabila tiba masanya.

Mengenai tindakan terhadapnya, Zuraida berkata, sebarang tindakan harus mengikut proses sepatutnya termasuk mengambil kira tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab itu.

"Selepas itu, ada lagi proses lain yang perlu diambil kira... apa yang perlu, mereka harus lakukan mengikut proses dan secara adil," katanya. - BERNAMA