Pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin merupakan aset penting dan pakar dalam memulihkan tahanan yang menyokong kegiatan militan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus faktor mengekalkannya sebagai individu penting dalam mengendalikan program pemulihan tahanan militan.

Jelasnya, rekod menunjukkan presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu cukup berjaya dalam mengendalikan program berkenaan.

"Biarpun beliau tidak dibenarkan membuat ceramah agama di Selangor, tetapi kepakarannya boleh digunakan untuk memulihkan mereka yang terlibat dalam isu pengganas, berpotensi untuk jadi pengganas atau menyumbang dana untuk lakukan keganasan," katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik (APIC) 2017 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih membiarkan Zamihan mengendalikan program pemulihan tahanan militan walaupun diharamkan memberi kuliah di Selangor dan Johor.

Latheefa yang juga seorang peguam berkata pandangan Zamihan sudah diketahui umum, daripada isu dobi untuk Muslim saja sehingga mengkritik surau di Pulau Pinang kerana membenarkan mangsa banjir bukan Islam berlindung.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, Zamihan juga merupakan serang pakar dalam mengendalikan modul yang sudah diterjemahkan kepada empat bahasa.

Selain bahasa Melayu, manual program deradikalisasi pengganas turut diterjemah kepada bahasa Inggeris, Perancis dan Arab.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan terhadap Zamihan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan sebelum ini berkata, beliau dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk menghadap Sultan Johor berkaitan isu Zamihan yang menyampaikan ceramah yang mengkritik tindakan Sultan Johor susulan isu dobi mesra Muslim yang menjadi kontroversi baru-baru ini.