Masih belum ada cadangan untuk mengenakan cukai 'durian runtuh' kepada institusi perbankan, walaupun mereka mencatat keuntungan berganda, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, keuntungan yang dicatatkan institusi berkenaan bukan perkara baharu, malah kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) juga tidak pernah bercadang untuk mengenakan cukai sedemikian.

"Tentang kedudukan kewangan bank-bank tersebut, ia bukan saja sekarang, tapi juga sebelum ini, di bawah kerajaan lama. Pada masa itu pun tak ada cadangan cukai," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

"Tetapi, pihak kerajaan telah maklumkan kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM), bahawa kita perlu ada kelonggaran untuk mudahkan pinjaman di kalangan pembeli rumah mampu milik.

"Dan sebab itu, dalam Belanjawan 2019, saya dah umumkan, BNM akan jalankan program, termasuk kadar faedah 3.2% serta memanjangkan tempoh pinjaman perumahan kepada 40 tahun," kata Lim ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) hari ini.

Hasan ingin mengetahui sekiranya kerajaan boleh mengenaikan cukai 'durian runtuh' kepada bank-bank supaya hasil kutipan itu dapat disalurkan kepada BNM bagi membantu pembeli rumah.

Dalam pada itu, Lim berkata, beliau percaya BNM berupaya membuat dasar baru yang lebih baik berhubung isu pembelian rumah mampu milik.

Bagaimanapun, katanya, dasar yang diperkenalkan BNM seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu perlu dilaksanakan terlebih dahulu supaya dapat dilihat sejauh mana keberkesanannya.

"Mari kita tunggu dasar yang BNM perkenalkan. Kalau tak berkesan, maka saya yakin BNM akan merangka dasar serta memberi kelonggaran pinjaman, supaya boleh beri banyak peluang kepada pembeli," katanya lagi.