Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Dr Mohamad berkata Malaysia tidak akan mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

Ini kerana katanya Zakir telah diberikan status pemastautin tetap di negara ini.

"Selagi beliau tidak menimbulkan masalah kita tidak akan hantar dia balik kerana beliau telah diberikan status pemastautin tetap," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pendakwah bebas itu akan dihantar pulang ke India atau kekal di Malaysia.

Sebelum ini beberapa portal berita melaporkan Zakir akan dihantar pulang ke India.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Zakir yang didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram meninggalkan India pada 2016.

Kerajaan India telah membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan agar hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga menafikan laporan Zakir akan dihantar pulang ke India dan berkata tiada sebarang arahan dikeluarkan berkenaan perkara itu.

Sementara itu, ditanya berhubung lokasi ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu.

"Saya tidak mengikuti pengembaraan Jho Low, jadi saya tidak tahu di mana dia sekarang. Terserah kepada mereka yang ditugaskan mencarinya untuk menyelesaikan masalah yang dia timbulkan menerusi 1MDB serta lain-lain salah laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu," katanya.

Semalam, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata berdasarkan laporan yang diterima oleh pihaknya ketika menjejaki lelaki itu di Hong Kong baru-baru ini, Jho Low dipercayai sudah melarikan diri ke Macau.

Pada 15 Jun lalu, Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasport milik ahli perniagaan itu atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan Jho Low diperlukan bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

-- BERNAMA