Yayasan Hasanah, sebuah yayasan milik Khazanah Nasional Berhad, komited melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan kesejahteraan rakyat terutama dalam bidang seni, warisan dan budaya.

Selain bidang itu, empat lagi teras utama yang menjadi fokus Yayasan Hasanah ialan pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar dan ilmu pengetahuan.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Seni, Warisan dan Budaya, Zainariah Johari berkata, bidang seni mampu mencetuskan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

“Kita melihat bidang seni, budaya dan warisan semakin mendapat perhatian kerana ia mempunyai potensi tersendiri untuk dikembangkan.

“Kami ingin memperkenalkan dan menanamkan sifat menghargai seni persembahan di kalangan golongan belia Malaysia, bukan sahaja agar mereka terus mengembangkan minat mereka dalam seni ini, tetapi juga dengan harapan yang mereka akan terus menghidupkan bidang seni di masa akan datang,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Pada Sabtu, Yayasan Hasanah memberi peluang kepada lebih 400 pelajar dari seluruh Malaysia untuk menonton persembahan OlaBola The Musical di Istana Budaya.

Aktiviti ini sebahagian daripada inisiatif seni, warisan dan budaya Yayasan Hasanah untuk menyokong seni persembahan tempatan selain memberikan pelajar-pelajar pengalaman kebudayaan kreatif dan sekaligus meningkatkan kesedaran dan penghargaan seni, warisan dan budaya di kalangan mereka.

Sementara itu Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, selepas menjadi entiti bebas, yayasan itu bercadang meningkatkan pemerkasaan program strategik sedia ada di pelbagai bidang, selain melaksanakan lebih banyak program jangka panjang baharu.

“Apabila kami melihat bidang seni, budaya dan warisan semakin mendapat perhatian, kami menjangka untuk program akan datang, bidang ini akan dipertingkatkan.

“Kami rasakan ini amat penting kerana ianya memberi erti kepada identiti peribadi kita dan juga warisan budaya negara kita,” katanya.

OlaBola The Musical membawa mesej yang amat bermakna tentang keindahan dalam kepelbagaian dan kekuatan menerusi perpaduan, selaras dengan nilai-nilai Yayasan Hasanah.


INFO Yayasan Hasanah

Organisasi berteraskan impak ke arah menjadikan Malaysia negara yang mampan di peringkat global menerusi pemerkasaan komuniti, keterangkuman masyarakat dan persekitaran terurus.

Fokus kepada lima bidang iaitu pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, ilmu pengetahuan serta seni, budaya dan warisan.


Fakta Nombor