Desakan pihak tertentu agar penyertaan sebagai peneroka Felda serta kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum, dilihat sebagai sesuatu yang akan mengecilkan hak orang Melayu di tanah air sendiri.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan berkata parti berkenaan melihat perkara itu dengan penuh kegusaran kerana dalam masa yang sama, tiada desakan agar kampung-kampung baru dan institusi pengajian Cina dan India 'diMelayukan'.

"Hak mereka (Melayu) terhadap Felda tidak perlu dipertikaikan. Perlu diingat bahawa syarat wajib untuk menjadi peneroka ialah miskin dan tidak memiliki walaupun sejengkal tanah di kampung asal mereka dan tanah Felda adalah satu-satu tanah yang mereka ada.

"Biarlah Felda dijadikan hak Melayu, seperti wujudnya kampung baru untuk bangsa Cina dahulu. Perlu diingat, dalam pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan 'Malaysian Malaysia', kita perlu menghormati hak sesuatu kaum di negara majmuk ini," demikian menurut kenyataan itu.

Bangsa Melayu, menurut kenyataan itu, sudah banyak berkorban terhadap hak mereka sebelum ini, termasuk memperuntukkan 10 peratus tempat untuk pelajar bukan Melayu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Dalam kenyataan sama, UMNO turut berterima kasih terhadap keputusan kerajaan untuk memberi bonus raya kepada semua peneroka Felda dan Felcra sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu sidang media pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan tersebut, peruntukan RM50 juta untuk peneroka Felda itu adalah kesinambungan kepada ihsan kerajaan Barisan Nasional terdahulu manakala peneroka Felcra pula akan menerima duit raya berjumlah RM44 juta daripada hasil keuntungan perniagaan agensi berkenaan, dan tidak menjejaskan sesen pun wang kerajaan.

"Semua ini hasil desakan UMNO baru-baru ini agar peneroka dipertimbangkan duit raya mereka, ternyata desakan UMNO itu menerima keprihatinan kerajaan PH. Sememangnya pemberian bonus dan duit raya kepada peneroka sudah menjadi 'tradisi' kerajaan semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri sejak April 2009," katanya.

Sumbangan peneroka terhadap ekonomi negara amatlah besar dan tidak sewajarnya diperlekeh oleh mana-mana pihak termasuk Pakatan Harapan, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA