Forum Bandar Sedunia ke-9 atau WUF bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pelbagai isu berkaitan perbandaran dan urbanisasi akan dibangkitkan sepanjang seminggu forum ini berlangsung.

Hari ini dimulakan dengan perhimpunan tiga komuniti iaitu kanak-kanak dan belia, wanita serta komuniti perniagaan.

Bertemakan ‘Bandar 2030, Bandar Untuk Semua: Melaksanakan Agenda Bandar Baharu’, WUF akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda baharu perbandaran.

Forum ini dianjurkan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta telah mencipta rekod peserta paling ramai dalam sejarah penganjurannya dengan lebih 30,000 peserta dari 192 negara.