World Trade Centre Kuala Lumpur (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) telah dipilih untuk menerima anugerah Best Convention & Exhibition Centre (Pusat Konvensyen & Pameran Terbaik) oleh Majlis Pelancongan Malaysia pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020.

Penghormatan diberi berdasarkan pencapaiannya dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang direka khusus bagi memberikan pengalaman yang luar biasa kepada penganjur konvensyen, pameran dan mesyuarat.

Bagaimanapun majlis penyampaian yang sepatutnya berlangsung di ITB Berlin, Jerman, telah dibatalkan susulan wabak COVID-19.

Majlis penganugerahan itu kemudiannya berlangsung pada pembukaan Malaysia Travel Fair 2020, 13 Mac lalu, yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Pelancongan Malaysia, Mohd Zamri Mat Zain.

Ketua Pegawai Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur, Yusri Junos berkata, anugerah itu membuatkan pasukannya berazam untuk terus bekerja keras bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

"Saya gembira, bangga dan rasa rendah diri menerima anugerah ini.

"Dianugerahkan pengiktirafan berprestij seperti ini menjadikan kami ingin berusaha lebih keras untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan cemerlang kepada semua pelanggan kami yang dihargai.

"Sebelum ini pada 2017, kami pernah menerima Anugerah Emas Pusat Konvensyen Perintis, juga dari Majlis Pelancongan Malaysia," katanya.

World Trade Centre Kuala Lumpur merupakan satu mercu tanda negara - bangunan ikonik dengan seni bina tradisional yang penuh nilai adat dan sejarah.

Di dalamnya terdapat pelbagai dewan, bilik mesyuarat dalam tetapan moden dan ruang terbuka.

Ia juga mempunyai ciri-ciri fleksibiliti yang membolehkan penganjuran acara yang berbentuk tradisional mahu pun moden.

Terletak di tengah-tengah ibu negara dan 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia boleh diakses melalui pengangkutan awam dan berjalan kaki dari pusat membeli-belah, restoran serta pusat hiburan.

Ia juga dikelilingi hotel bertaraf tiga bintang hingga lima bintang.