Seorang warga Singapura maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya putus selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van di Kilometer 6.6, Jalan Gelang Patah menghala ke Ulu Choh, dekat Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam kejadian pada 9.33 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun tersebut menunggang motosikal jenis BMW dari Gelang Patah menuju ke Ulu Choh, maut di tempat kejadian selepas dipercayai merempuh sebuah van Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van berkenaan memasuki simpang kanan jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang bergerak lurus dari arah Gelang Patah menghala ke Ulu Choh.

"Ekoran dari kemalangan tersebut, bahagian kepala mangsa terputus dan tercampak ke tengah jalan," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Pemandu van berkenaan yang berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Dzulkhairi.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk dibedah siasat. Polis juga menahan pemandu van tersebut untuk siasatan lanjut," katanya.