WANITA warganegara Malaysia yang ditahan selepas melakukan ugutan terhadap sepasang suami isteri yang kehilangan telefon bimbit di Melbourne mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Melbourne Isnin lalu.

Siti Nurhidayah Kamal, 24, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap pasangan Jay dan Dee Windross.

Pasangan tersebut sebelum ini dikatakan telah kehilangan telefon bimbit mereka di sebuah pasaraya yang mengandungi gambar-gambar berharga bayi mereka yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia.

Mereka kemudiaannya mengiklankan kehilangan tersebut di laman sosial.

Warga Malaysia itu dipercayai meminta wang berjumlah AUS$1,000 (RM2,900) sebagai pertukaran terhadap telefon bimbit pasangan tersebut yang kononnya berada dalam simpanannya.

BACA: Peras ugut pasangan Australia kematian anak, wanita Malaysia didakwa mahkamah

Bagimanapun pasangan tersebut menyedari bahawa wanita berkenaan tidak memiliki telefon tersebut dan berasa ditipu sebelum membuat laporan polis.

Polis Melbourne kemudiannya menahan wanita berkenaan dan tidak membenarkan sebarang jaminan terhadapnya.

Wanita terbabit juga dilaporkan mempunyai beberapa rekod jenayah penipuan membabitkan tiket penerbangan di Malaysia.

Nurhidayah akan kembali ke mahkamah untuk keputusan hukuman pada tarikh yang masih belum ditetapkan.