Seorang warga emas maut apabila kereta dipandu anaknya terbabas sebelum terjunam dan terbalik dalam sungai di Jalan Salidin-Sungai Pari di sini, hari ini.

Mangsa M Vijaya Latchemy, 60 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai terperangkap dalam kenderaan itu manakala anaknya berjaya menyelamatkan diri.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.26 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kereta.

“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira lima minit sahaja. Mangsa masih dalam keadaan memakai tali pinggang keledar dan berjaya dibawa keluar melalui salah satu pintu kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Foto JBPM Perak

Jurucakap itu berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Katanya, menurut saksi, anak mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu.