Semua warga asing perlu menjalani kuarantin selama 14 hari terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dalam kenyataan berkata, arahan itu membabitkan mereka yang masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kenyataan itu menyebut, mereka perlu menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.

Sementara itu, kenyatan sama turut menyebut tiada sebarang pertambahan kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan jumlah keseluruhan kes kekal sebanyak 701 kes.

"Antara lain, Kluster Alam di Bintulu kekal sebagai kluster tunggal yang masih aktif di negeri ini. Jumlah kes yang terlibat dengan kluster berkenaan setakat ini kekal dengan lapan kes.

"Kesemua mangsa yang terlibat dalam kluster ini dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital," kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, tiada kes sembuh dan discaj dilaporkan hari ini, dengan jumlah individu pulih sehingga kini kekal 680 orang atau 97 peratus daripada keseluruhan kes.

Selain itu, jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.71 peratus daripada keseluruhan kes.