Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam Op Kristal di Kampung Puyut kira-kira pukul 7.10 malam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, dalam kejadian itu, suspek seorang lelaki berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri di kawasan jalan masuk Kampung Puyut.

"Setelah memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis, suspek terkejut dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis tetapi tindakan pantas polis berjaya menahan suspek.

"Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh suspek menjumpai satu paket lutsinar tersimpan dipoket belakang sebelah kiri seluar pendek berwarna biru yang dipakai suspek," katanya dalam kenyataan.

Tambah Nasri, pemeriksaan pada paket lutsinar itu pula mendapati terdapat empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama 14 gulung kertas timah dianggarkan seberat 11.77 gram dan bernilai RM 1,765.50.

"Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya", katanya.