Lebih separuh wanita di negara ini berasakan keputusan untuk menguruskan rumah tangga menjejaskan masa depan kerjaya mereka, walaupun menikmati waktu kerja fleksibel.

Hakikatnya wanita bekerjaya di Malaysia harus memilih sama ada mahu meneruskan kerjaya atau memberi tumpuan kepada anak-anak.

Dapatan ini merupakan hasil tinjauan 700 wanita berkerjaya oleh syarikat pencari pekerjaan Monster.com yang diterbitkan baru-baru ini.

Tinjauan terbabit menunjukkan 30 peratus daripada wanita Malaysia bersetuju bahawa anak-anak menjejaskan masa depan kerjaya mereka sementara 30 peratus lagi percaya anak menyebabkan kerjaya mereka terbantut.

Kebimbangan mengenai prospek kerjaya wanita itu juga wujud walaupun lebih separuh (54%) daripada mereka mengakui diberi waktu bekerja fleksibel dengan 34 peratus diberikan kebebasan untuk bekerja dari rumah.

Menerusi kajian terbabit, hampir 70 peratus responden menyatakan bahawa mereka berdepan diskriminasi jantina di tempat kerja, dengan 41 peratus menyatakan mereka tidak dapat naik pangkat disebabkan jantina mereka.

Begitupun, statistik yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada Mac lalu menyatakan pegawai wanita kini sudah melebihi pegawai lelaki dalam perkhidmatan awam.

Malah sasaran kuota 30 peratus untuk meletakkan golo­ngan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi sudah tercapai dengan angka menunjukkan 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam.

“Berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dan peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera,” katanya.

Sementara itu, data yang diperoleh pada November tahun lalu menunjukkan 79 daripada 930 syarikat senaraian awam mencapai kadar 30 peratus jumlah wanita sebagai anggota lembaga pengarah.