Jabatan Mufti Kelantan berpendapat wanita dan isteri merupakan anugerah Allah S.W.T. yang seharusnya diletakkan di tempat yang tinggi bagi memelihara agama dan kesucian islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed berkata wanita atau isteri tidak seharusnya dijadikan bahan taruhan kerana mereka adalah amanah Allah S.W.T.

"Kita perlu lihat ajaran Islam yang sangat indah dan suci, jangan cemar dengan amalan yang boleh menjejaskan imej Islam.

"Wanita dan isteri dalam Islam merupakan amanah Allah S.W.T. kepada suami yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Oleh kerana itu tidak sewajarnya menjadikan isteri bahan yang boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Mohamed Shukri menjelaskan Islam memuliakan kaum Hawa, bahkan dalam Al Quran juga menyentuh kemuliaan wanita dengan membawa contoh pengorbanan Mashitah dan Siti Mariam.

Beliau yang tidak merujuk kepada mana-mana isu sebaliknya mengeluarkan pandangan itu berlandaskan pandangan dalam Islam.


Sebelum ini ada pihak mempertikaikan kaedah serta cara bai'ah dengan taklik menceraikan isteri dengan talak tiga yang diamalkan oleh pimpinan PAS Kelantan yang dilihat merendahkan martabat wanita.

Tradisi bai'ah dengan taklik cerai talak tiga isteri dilakukan kepada calon yang akan bertanding sama ada di kerusi parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohamed Amar Nik Abdullah mengesahkan bahawa amalan bai'ah itu diamalkan sejak sekian lama yang diperkenalkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, hanya PAS Kelantan sahaja yang menggunakan taklik cerai talak tiga isteri dalam bai'ahnya.

Sementara itu, menyentuh isu bai'ah dengan bertaklik menceraikan isteri talak tiga, Mohamed Shukri menegaskan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa berhubung perkara itu.

"Isu berbangkit berhubung bai'ah dan juga isu taklik kita dapati bahawa terdapat pertikaian dan oleh itu perlu mendapat pengesahan dari mahkamah. Mahkamah perlu dirujuk kerana mahkamah mempunyai bidang kuasa dan kita tak boleh membuat keputusan sendiri," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli yang mengisytiharkan dirinya keluar PAS dengan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) telah melanggar bai'ah yang dibuat di hadapan bekas Pesuruhjaya PAS Kelantan (Nik Aziz).

Dr Hatta dan beberapa pandangan lain berpendapat talak tiganya tidak jatuh dengan isterinya akibat melanggar bai'ah itu.

Namun, Mohamed Shukri meminta Dr Hatta merujuk kepada Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa berhubung perkara itu dan status perkahwinannya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya tidak memakai pandangan atau mazhab selain mazhab Syafie yang menjadi ikutan dan rujukan dalam mengeluarkan fatwa di negara ini.

Katanya, tidak wajar mengambil sebarang rujukan dan membuat keputusan berdasarkan mazhab yang bukan dari mazhab Syafie atau merujuk kepada ulamak yang berpandangan bertentangan dengan mazhab Syafie.

Ia kerana aliran rujukan dalam membuat keputusan di negara ini adalah berdasarkan mazhab Syafie yang sealiran dengan ahli Sunnah Wal Jamaah.