Seorang pesara wanita warga emas kerugian sebanyak RM1.84 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang kononnya mendakwa mangsa terlibat dengan satu sindiket pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, penipuan itu bermula apabila mangsa yang juga pesara sebuah badan berkanun berusia 76 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya kakitangan Pos Laju pada 5 Jun lalu.

Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Adam Wong itu mendakwa terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan dan lapan kad ATM bank yang dihantar wanita berkenaan, ke Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun mangsa menafikan pernah menghantar bungkusan itu.

Susulan itu suspek kemudiannya menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, dan berjanji untuk membantu mangsa.

Mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada tiga individu yang mendakwa pegawai polis.

Anbalagan berkata, mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta selain terdapat akaun bank dibuka atas namanya di Kota Kinabalu.

Mangsa yang panik dan takut dengan dakwaan itu, kemudiannya mengikuti arahan suspek yang memintanya melaporkan kedudukannya setiap dua jam selain tidak menceritakan perkara tersebut kepada pihak lain.

"Mangsa turut memindahkan wang simpanannya dari Lembaga Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), serta wang pusaka arwah ibunya, ke dalam beberapa akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM790,000 pada 23 Jun lalu dan seminggu kemudian, mangsa sekali lagi memasukkan dua cek kepada pemilik akaun iaitu sebuah syarikat pembinaan masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM350,000, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa sekali lagi dimaklumkan perlu membayar wang bon jaminan RM1 juta sekiranya tidak mahu ditangkap dan direman.

Mangsa yang ketakutan memasukkan dua keping cek hasil jualan barangan kemas dan pinjaman daripada adik-beradiknya masing-masing berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat pada 13 dan 22 Julai.

Menurut Anbalagan, suspek bagaimanapun terus memaksa mangsa memindahkan sebanyak RM500,000 lagi bagi mencukupkan jumlah RM1 juta wang bon jaminan menyebabkan mangsa terpaksa meminta pertolongan anaknya di Kuala Lumpur kerana sudah kehabisan wang.

Anak mangsa yang terkejut mendengar cerita ibunya mengesyaki ibunya menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis dua hari lepas di Balai Polis Bayan Baru.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.