Seorang pelayan restoran di sini kerugian RM13,612 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis kononnya bergelar 'datuk', semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian bermula apabila mangsa wanita berusia 25 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek kononnya dari Mahkamah Johor.

"Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,300 sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Sauzi' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Suspek mendakwa mangsa turut terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram," kata Mohd Wazir dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Koh' bagi menyelesaikan kes sebelum suspek meminta mangsa membuat pindahan wang ke dalam satu akaun milik wanita itu.

"Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM13,000 ke akaun berkenaan sebelum menyerahkan kata laluan perbankan internet kepada suspek.

"Setelah membuat pindahan ke akaun yang disuruh, mangsa pulang ke rumah dan membuat semakan mendapati wang sudah berkurangan sebanyak RM13,612.69

"Mangsa mendapati terdapat pemindahan ke dalam akaun milik orang lain. Mangsa baru menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.