Sejumlah 35 akaun bank dibekukan selain wang tunai dan hartanah berjumlah RM4 juta disita dalam serbuan terhadap rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan (MSB) wang haram di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Bank Negara dalam satu kenyataan malam tadi berkata serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Ogos itu turut merampas dokumen, komputer dan telefon bimbit yang berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, 14 individu telah disoal siasat untuk membantu siasatan selain 22 pendatang tanpa izin, yang disyaki kakitangan dan pelanggan pengendali haram itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Serbuan itu dibuat bagi kesalahan disyaki menjalankan aktiviti MSB tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Mereka yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA, individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kenyataan itu menyebut orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pengendali MSB haram untuk menghantar wang. Sesiapa yang terlibat tidak akan dilindungi daripada kerugian kewangan sekiranya berlaku pertikaian.

Orang ramai harus menjalankan urus niaga mereka dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang disenaraikan di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my), kata kenyataan itu.

-- BERNAMA