Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini meraikan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), Yang Teramat Mulia Sheikha Moza Nasser.

Jamuan malam itu diadakan di rumah kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini.

Timbalan Perdana Menteri bangga menyambut kedatangan tetamu istimewanya dengan memasak sendiri kuih bingka ubi kayu untuk Sheikha Moza di dapur Sri Satya.

Bertemu dengan Bernama di dapur berkenaan sebelum Sheikha Moza tiba, Dr Wan Azizah berkata, beliau memilih untuk memasak kuih Melayu kerana ia mudah dan senang untuk disediakan.

"Saya mula memasak bingka ubi kayu ini pukul 6.30 petang. Ia senang, hanya perlu ubi kayu, santan kelapa, gula dan sedikit garam.

"Saya biasa masak ini ketika di luar negara. Saya pernah masak ini semasa di New York dahulu," tambah beliau.

Selepas menyediakan kuih itu, Dr Wan Azizah menyambut Sheikha Moza setibanya di Sri Satria kira-kira pukul 8.15 malam.

Sebaik tiba, Sheikha Moza menandatangani buku tetamu dan kemudian menyaksikan tarian joget selamat datang oleh kanak-kanak Genius.

Turut hadir pada jamuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Wan Azizah bersama Sheikha Moza menyaksikan persembahan daripada kanak-kanak Genius pada majlis makan malam di kediaman rasminya di Sri Satria, malam ini. --fotoBERNAMA

Sheikha Moza tiba di sini Ahad dan adalah dalam lawatan khas empat hari ke Malaysia dari 28 April hingga 1 Mei.

Sheikha Moza dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri pada Selasa.

Menurut satu kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar pada Ahad, lawatan khas itu akan menyediakan peluang bagi kedua-dua pihak untuk membincangkan lagi pelbagai isu kepentingan bersama terutama mengenai pendidikan, kesihatan, penguasaan wanita, pembangunan belia dan komuniti.

EAA, yang diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza bertujuan untuk membina satu pergerakan global yang menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan, sosial dan ekonomi menerusi penyediaan pendidikan berkualiti, manakala QF adalah pertubuhan tidak mengaut keuntungan yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti sejak 1995.

Sheikha Moza ialah permaisuri kepada Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, bekas Emir Qatar.

-- BERNAMA