Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar mendakwa terdapat hotel yang bukan hanya menguna polisi larangan memakai tudung terhadap pekerja wanita Islam tetapi turut mengarahkan pelajar yang mahu menjalani latihan industri memakai mini skrit.

Dr Rafidah mendakwa pihaknya menerima aduan terdapat pelajar yang menghantar permohonan menjalankan latihan industri, namun tidak diterima kerana bertudung.

“Malah, mereka diberi syarat jika ingin meneruskan latihan, perlu membuka tudung. Ada yang datang bertudung, tetapi pengurusan hotel minta mereka memakai mini skirt yang jelas bercanggah dengan penampilan sebagai wanita muslimah,” kata Dr Rafidah seperti dilapor portal Ismaweb.

Selain itu, Dr Rafidah juga mendakwa larangan memakai tudung bukan hanya dikenakan terhadap pekerja wanita Islam di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) tetapi juga bahagian lain.

Katanya, Wafiq turut menerima aduan daripada seorang kakitangan hotel di bahagian pengurusan yang turut dilarang memakai tudung.

“Dan wanita-wanita ini telah pun merayu, membuat surat rayuan kepada majikan mereka, tetapi tidak diendahkan," katanya lagi.

Isu terdapat hotel yang mengunakan polis melarang pekerja wanita Islam memakai yang bertugas di bahagian kaunter depan mula menjadi perhatian apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat aduan daripada kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

BACA: Tarik balik lesen hotel larang wanita bertudung bekerja di kaunter depan - Nurul Izzah

BACA: Hotel larang pakai tudung: Kurang ajar - Nazri Aziz

BACA: Larangan bertudung: PBT disaran tarik balik lesen hotel - Noh Omar


BACA: Pemakaian tudung tidak jejaskan destinasi pelancongan - KM Melaka

Menurut Uni-MLC, larangan yang sama turut dikenakan pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi sebaliknya berpendapat ia merupakan sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee menjelaskan setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.