Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah untuk program Pertukaran Pemimpin Kampung ke Lima ASEAN (VLEP) bakal memberi penekanan pembangunan modal insan menerusi pembangunan kapasiti dan pembangunan komuniti.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia sekali gus dapat mencapai misi pengurangan kadar kemiskinan melalui transformasi luar bandar.

“Ia untuk membina masyarakat berdaya tahan dengan keupayaan dan kebolehan untuk menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap kelemahan sosial dan ekonomi, bencana, perubahan iklim serta ancaman dan cabaran yang akan datang,” katanya semasa merasmikan VLEP pada Isnin.

VLEP yang dimulakan pada tahun 2013 bertujuan meningkatkan keupayaan tadbir urus terutama sekali di peringkat pemimpin akar umbi di negara-negara ASEAN.

Tema VLEP untuk mengurangkan kadar kemiskinan terutama di luar bandar sejajar dengan matlamat Sosio-Budaya ASEAN jelas Alexander.

Antara delegasi yang akan terlibat terdiri daripada empat orang wakil bagi setiap 10 negara ASEAN termasuk Korea, Jepun dan China serta dua wakil sekretariat ASEAN.

Jelas Alexander, delegasi akan mengambil bahagian dalam lawatan lapangan ke Kampung Hulu Chuchoh, salah satu kampung yang berjaya di Malaysia.

Lawatan adalah untuk membantu melahirkan idea mengenai projek atau pembangunan luar bandar yang bakal dilaksanakan.

Program VLEP akan berlansung pada 22 hinga 28 Oktober 2017 bertempat di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur dan Kampung Hulu Chuchoh, Selangor.