SEPERTI yang kita ketahui, Dewan Senat atau Dewan Negara Malaysia mempunyai seramai 70 orang ahli keseluruhannya.

Daripada 70 orang senator tersebut, dua senator untuk setiap negeri dipilih oleh Dewan Perundangan Negeri masing-masing untuk tempoh tiga tahun, manakala 44 orang ahli lain termasuk empat senator yang mewakili Wilayah Persekutuan pula dilantik oleh Yang Dipertuan Agong untuk tempoh tiga tahun juga.

Menurut perkara 45 Perlembagaan Malaysia, Ahli Senat tidak semestinya dilantik daripada ahli politik tetapi boleh dilantik di kalangan individu yang banyak berjasa kepada negara dalam bidang perkhidmatan kerajaan, sosial, kebudayaan, perdagangan dan memiliki kepakaran dalam lain-lain bidang seperti media massa. Seorang ahli dilantik bagi tempoh tiga tahun dan tidak melebihi dua penggal.

Buat masa kini, Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menguasai Dewan Rakyat.

Namun demikian, jawatan Yang Dipertua Dewan Negara digalas oleh Tan Sri SA Vigneswaran dari MIC, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan gabungan pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Keadaan ini wujud kerana sifat Perlembagaan yang menentukan bahawa Senator bukan dipilih oleh rakyat secara langsung, tetapi dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Sehingga masa kini, kebanyakan Senator yang masih ada dipilih atau dilantik sewaktu BN berkuasa iaitu sebelum PRU ke-14. PH pula menguasai majoriti kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat pada PRU ke-14 dan membentuk kerajaan pusat.




Harumkan negara

Vigneswaran baru-baru ini menghadiri Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara-Negara Komanwel ke-25 yang berlangsung di Ottawa, Kanada.

Vigneswaran mewakili negara dalam persidangan tersebut selaku Speaker atau Yang Dipertua Dewan Negara Malaysia.

Pada persidangan itu, Vigneswaran juga menghadiri sebuah forum yang berlangsung sempena persidangan tersebut yang bertajuk 'Inclusive Parliments: The Role of the Speaker in Supporting Emerging Procedures and Practices Embracing the Changing Face and Needs of Parliament'.

Semasa sesi itu, Vigneswaran menggunakan peluang tersebut untuk meluahkan buah fikirannya terhadap peranan Yang Dipertua Dewan Negara dalam suasana politik yang baharu.

Beliau percaya, forum ini merupakan platform yang terbaik baginya meluahkan pandangan bagi menggalakkan pemikiran berkecuali atau tidak memihak (neutrality), kesaksamaan dan keadilan dalam semua institusi Parlimen di seluruh dunia.

Beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang terdiri daripada pelbagai parti, termasuklah ahli-ahlinya terdiri daripada pihak pemerintah dan pembangkang, mempunyai pengetahuan yang amat mendalam untuk dikongsi bersama Speaker yang menghadiri forum tersebut.

Walaupun Vigneswaran tidak mewakili parti politik yang memerintah atau kerajaan semasa, apatah lagi dengan Dewan Rakyat yang dikuasai parti pemerintah, (PH), beliau tetap dihormati dan disegani atas sikap adilnya dalam melaksanakan tangungjawab sebagai Speaker.

Ahli-ahli Dewan, tidak kira apa juga parti yang mereka wakili, menyokong sebarang keputusan yang dibuat Vigneswaran sejak beliau menjadi Yang Dipertua Dewan Negara.

Hampir keseluruhan Ahli Dewan Negara mengakui bahawa kebijaksanaan Vigneswaran jelas terserlah dalam mengurus mesyuarat atau prosiding malah atas segala keputusan yang dibuat olehnya.

Malahan, para peserta persidangan bukan sahaja mendengar pandangan beliau dengan penuh minat tetapi turut berasa kagum dengan nilai dan prinsip yang dicadangkannya sebagai seorang Yang Dipertua Dewan Negara daripada sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum.




Prinsip berkecuali

Beliau menegaskan, bahawa seorang Yang Dipertua Dewan Negara seharusnya memegang prinsip berkecuali, adil dan inklusif sepanjang masa prosiding, terutamanya di Parlimen dan Dewan Senat yang terdiri daripada pelbagai parti yang mewakili pelbagai komuniti dan etnik.

Selain itu, beliau juga mencadangkan seorang Yang Dipertua Dewan Negara adalah orang yang bertanggungjawab terhadap perbahasan atau mesyuarat Dewan Negara tidak dipengaruhi oleh sentimen parti politik yang dianggotai atau diwakilinya.

Menurut beliau, Speaker hendaklah memastikan sebarang undang-undang atau dasar yang dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan Perwakilan (Parlimen) diteliti dan disemak dengan berhati-hati sebelum diluluskan oleh Senat supaya kepentingan rakyat keselurhan terjamin dan terbela.

Beliau turut menekankan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara tidak seharusnya dipengaruhi oleh pertimbangan 'pemikiran politik' parti yang diwakilinya.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara seharusnya mengamalkan sikap berkecuali sepanjang masa prosiding bersandarkan nilai kesaksamaan, kebenaran dan keadilan semata-mata.

Peserta persidangan juga amat tertarik dan mengagumi kebolehan serta kemahiran Vigneswaran yang mempertahankan selain menyebarkan nilai-nilai demokrasi tulen yang seharusnya dihayati oleh setiap Yang Dipertua Dewan Negara dalam senario politik baharu.

Dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh, beliau menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara mestilah menjalankan prosiding dewan secara adil dan keputusan mereka tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana prinsip dan agenda parti politik yang mereka wakili.

Sifat berkecuali dan keadilan mestilah menjadi inti pati utama dan bukannya hanya sekadar diperkatakan.

Malah, nilai-nilai tersebut seharusnya diterapkan oleh Yang Dipertua Negara pada setiap kali perbahasan semasa mereka duduk di atas kerusi yang paling mulia iaitu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara (pengerusi Senat).

Persoalanya, apakah nilai-nilai berkecuali atau keadilan dilaksanakan oleh seorang Speaker apabila ahli-ahli daripada partinya menguasai dewan perwakilan rakyat atau Dewan Negara?

Vigneswaran merupakan Presiden MIC yang mewakili majoriti kaum India dalam medan politik Malaysia. Kini, beliau bukan sahaja menerajui aspirasi sebahagian besar orang India di negara ini tetapi juga dipercayai sebagai seorang prodigi komuniti India yang mampu malah diharapkan mengemudi komuniti India ke satu era yang menjanjikan masa depan yang lebih cemerlang.

Rakyat negara ini terutama masyarakat India amat berbangga dengan Vigneswaran yang mengharumkan imej sebuah institusi demokrasi terunggul dalam negara di persada dunia.


*Sehingga 27 Ogos 2018


* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.