Sebut sahaja nama selebriti popular Vanidah Imran, pasti ramai yang mengetahui kelincahannya dalam aktiviti sukan larian.

Bukan sahaja lincah berlari, Vanidah kini bakal mewakili negara dalam Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) 2019 bersama Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia atau lebih dikenali sebagai Pusaka Hanafi.

Vanidah bersama 19 atlet yang lain bakal berentap bersama atlet-atlet dari 100 negara lain dalam kejohanan yang dianjurkan di Bandar Chungju, Korea Selatan bermula 29 Ogos hingga 7 September ini.

Vanidah turut mendedahkan beliau mula mempelajari seni mempertahankan diri ini sejak 2016 kemudian berpeluang dilantik sebagai duta Kejuaraan Wajadiri Mysilat Silat Cekak Pusaka Hanafi peringkat IPT dan Sekolah Seluruh Malaysia pada 2018.

“Saya mula mempelajari silat ini sebagai seni mempertahankan diri untuk keselamatan diri, kemudian timbul minat sehingga meletakkan diri saya pada peringkat ini sekarang.

“Sewaktu pengambaran drama, filem dan teater ada juga belajar silat lain tetapi tidak secara menyeluruh, jadi apabila dapat peluang ini, saya dapat belajar dengan sepenuhnya,” katanya.

BACA: Pusaka Hanafi Malaysia bakal berentap pada pentas dunia di Korea Selatan

Dalam perkembangan berkaitan, selepas kembali dari Chungju, Vanidah bakal jalani penggambaran drama dan turut melengkapkan pengajiannya Ijazah Sarjananya tidak lama lagi.

Sementara itu, ketika ditanya, adakah aktiviti sebegini hanya untuk memenuhkan masa dan aktiviti hariannya selepas berpisah bersama bekas suami, jawapannya mudah.

“Tidak, saya meluangkan masa melakukan perkara yang saya minat. I am living my life to the fullest, daripada saya duduk tidak membuat apa-apa lebih baik saya mengisi masa lapang saya dengan aktiviti sukan, seni mempertahankan diri, belajar dan meluangkan masa bersama anak-anak,” jelasnya.

BACA: 'Saya bukan sama sekali Imam yang baik' - Shidi, Vanidah sah bercerai