SYARIKAT akhbar tertua negara, Kumpulan Utusan perlu melakukan penyusunan semula pengurusan dan juga pasukan pengarangnya untuk terus bersaing dengan media-media lain, kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar

Bekas Ketua Pengarang syarikat akhbar itu berpendapat, penyusunan semula secara menyeluruh pengurusan dan pasukan pengarang boleh membantu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkannya.

Menurut Johan, menyusun semula pasukan pengarang lebih penting daripada mengharapkan simpati orang ramai untuk membeli akhbar itu.

"Tentulah dalam dunia media ini kadang-kadang orang kata give what the readers want tetapi kita juga ada tanggungjawab kita sebagai editor yang bertanggungjawab.

"Sebagai editor, kita percaya bahawa kita harus juga meletakkan suratkhabar ini kepada level intelektual yang tersendiri.

"Tetapi dalam konteks hari ini kalau kita tidak tangani secara komprehensif, kalau kita tidak ada plan untuk masa depan, kalau kita hanya mengharapkan simpati daripada orang untuk membeli suratkhabar, saya fikir simpati tidak akan bertahan, simpati tidak boleh bertahan oleh kerana berapa lama orang akan menyokong penerbitan akhbar kita?" soalnya dalam temubual khas bersama Astro AWANI.

BACA: Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo beroperasi seperti biasa - Pengerusi Kumpulan

Selain penyusunan menyeluruh pasukan pengarang, Kumpulan Utusan juga perlu membuat penstrukturan semula perniagaannya untuk lebih berdaya saing.

Jelas beliau, selama ini Kumpulan Utusan lebih menumpukan kepada penerbitan akhbar tanpa melibatkan dalam perniagaan lain.

"Tetapi realiti hari ini sekurang-kurang Utusan harus memperluaskan aktiviti yang media related yang ada kaitan dengan media.

"Kalau Utusan tidak mahu diversified kepada bidang-bidang lain, jadi proses penstrukutran semula itu penting dan kita harus juga ingat bahawa Utusan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini menanggung kerugian," kata Johan lagi.

Pengurusan Kumpulan Utusan pada Selasa memutuskan untuk meneruskan penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo biarpun sehari sebelumnya dilaporkan syarikat penerbitan itu akan menamatkan operasinya minggu ini.